Friday, February 18, 2011

SEBELUM KITA TUA

"Sabar pakcik..sabar..," kata seorang pelajar dari CUCMS, sambil mengesat jejeran air mata (dan air yang keluar dari mulut) pakcik ini.

Pakcik ini baru berumur 51 tahun, dan menghidap strok sejak 2 tahun yang lalu. Dahulu, beliau merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya. "Bisnes sana sini. Sekarang apabila jadi begini, keluarga dan kawan semua abaikan. Seorang kawan Cinanya sahaja yang selalu melawat pada tiap-tiap minggu."

Lapan orang anaknya, termasuk isterinya pernah sekali datang melawat, tetapi apabila melihat keadaannya yang tidak dapat bergerak, malah kepala pun tidak dapat digerakkan, mereka pulang dan tidak datang lagi sampailah sekarang.

"Pakcik ini menangis kerana dia terharu dikunjungi orang lain yang bukan anaknya, yang langsung tiada talian kekeluargaan. Di sini mereka bukannya mahu duit anda, apa yang mereka mahu hanyalah kasih sayang" pesan Abdullah Noel, Naib Pengerusi yang juga Pengasas Pusat Jagaan Siti Nor Aini.

Emas yang Tidak Berharga

Ada seorang penghuni di sini mempunyai 13 orang anak, tetapi tiada seorangpun yang sanggup menjaganya. Apakah terlalu susah untuk menjaga seorang bapa, sehingga terpaksa dihantar ke pusat jagaan (baca: rumah orang-orang tua)? Apakah terlalu mahal kosnya menjaga seorang bapa, berbanding kos seorang bapa menjaga anak-anak?

No comments:

Post a Comment